Selasa, 22 Oktober 2013

suka mendengar cakap orang


2
SUKA MENDENGAR CAKAP ORANG

Ia dikatakan sebagai punca utama. Mendengar cakap orang di ibaratkan menukar diri menjadi sampah yang boleh ditendang,dihanyutkan dan dibuang sesuka hati.

     Mendengar cakap orang juga ibarat membiarkan diri menjadi lalang, ditiup ke sana sini mengikut arah angin. Boleh juga diibaratkan seperti membiarkan orang lain menguruskan diri kita. Di mana hak kita? Sekiranya mendengar cakap orang, memang kita seolah-olah tidak berhak pada diri kita sendiri. Hak kita diambil oleh orang lain – hak itu dipergunakan sepenuhnya bagi mengurus diri kita. Hidup siapa yang kita jalani? Hidup sendiri ataupun hidup orang lain?

       Seorang adik yang ‘terpaksa’ taat kepada abangnya, terpaksa menerima bulat-bulat apa yang diperkatakan oleh abangnya. “Abang, saya mahu buat ini.” Zupp… si abang mencebik dan mengatakan, “Susah buat itu.

        Bagaikan kilat kata-kata ‘susah’ itu masukkan ke dalam fikiran dan jiwa si adik, bermastautin di situ. Setiap kali si adik hendak melakukan sesuatu, beliau teringat kata-kata, “Susah hendak buat itu.” Kemudian, si adik berkata lagi kepada abangnya, “Abang, saya mahu belajar lagi, mahu kerja ini.” Jawapannya sudah diduga, “Itu kerja…..” Sekali lagi zupp… Jadi sepanjang masa membesar bersama abangnya itu sentiasa ada zupp, zapp, zupp, zapp masuk ke dalam badan dan fikiran si adik.

        Si adik membesar dan menjadi dewasa – menjalani hidup sendiri, hidup yang tidak seperti yang diimpikan. Mengapa? Kerana segala impian, cita-citanya sudah ‘dibunuh’ oleh si abang sejak dari mula lagi. Setiap  kali hendak melakukan sesuatu, si abang yang menyangka dirinya sebagai penasihat, akan ‘menasihati’ supaya jangan melakukan.

          Apabila sudah menjalani hidup masing-masing, adakah si abang bertanggungjawab pada kehidupan adiknya? Si abang pun ada kehidupan sendiri tetapi kesan daipada ‘nasihatnya’ kepada adik tadi kekal seumur hidup. Oleh kerana si adik mendengar cakap abangnya, hidupnya tidak seperti yang diimpikan. Siapa yang bersalah? Kata hiknat lama, ‘Jika seseorang ditipu, yang bersalah bukan yang menipu tetapi yang ditipu.’

         Terlalu banyak perkara yang sama berlaku di depan kita setiap hari. Ada orang yang sudah menjejakkan sebelah kakinya di jalan kejayaan, minggu depan kita melihatnya sudah berada dalam kegagalan – hanya kerana mendengar cakap orang. Satu ayat sahaja sudah boleh memindahkan orang yang berjaya ke alam kegagalan.

         Sekarang, imbas kembali kehidupan masa lalu, kemudian menyusur sampai ke hari ini. Apa impian kita masa lalu dan apa pencapaian kita? Adakah menepati impian kita? Sekarang, kita tinjau semula, adakah impian yang tidak tercapai itu akibat daripada mendengar cakap orang? Sekiranya kita Berjaya mencapai impian – adakah impian itu dapat dicapai hari ini sekiranya pada masa lalu kita mendengar cakap orang? Begitulah pentingnya kesan cakap orang. Mendengar cakap orang hanya memusnahkan hidup sendiri.

          Mengapa begitu? Ini kerana tidak ada dua manusia yang serupa. Setiap orang mempunyai sudut pandangan yang berbeza. Kita mengatakan yang ini cantik, kawan kita mengatakan yang itu lebih cantik. Kita mengatakan sedap, beliau mengatakan tidak sedap.

           Jadi, apa yang dikatakan oleh orang adalah mengikut sudut pandangan atau perspektif mereka sendiri, bukan daripada sudut pandangan kita. Kata orang yang kita dengar bukan daripada sudut pandangan kita. Jadi, apa yang kita resapkan ke dalam otak dan badan adalah perspektif orang. Sahlah, sekiranya kita mendengar dan mengakui cakap orang bermakna membiarkan orang menguruskanhidup kita.

          Pada suatu hari, seorang pengembara berjalan di tepi sungai. Beliau hendak menyeberangi sungai itu tetapi berasa waswas kerana tidak pasti sama ada sungai itu dalam ataupun cetek. Ada beberapa orang budak sedang bermain di tepi sungai, lalu pengembara itu bertanya kepada mereka.

          “Dalam ataupun tidak sungai ini?” Tanya pengembara itu. Salah seorang budak di situ memerhatikan sungai itu dan terlihat itik sedang berenang di sungai.

           “ Sungai ini tidak dalam, pak cik boleh menyeberang.”

           Pengembara itu pun berjalan menyeberangi sungai. Sampai di tengah   sungai, beliau tenggelam dan lemas. Mengapa? Kerana kesilapannya sendiri mendengar cakap orang yang tidak tahu. Budak kecil tadi tidak tahu sama ada sungai itu dalam ataupun cetek, tetapi apabila melihat itik berenang budak itu membuat andaian – kaki itik itu pendek, kaki pengembara itu panjang dan sekiranya itik dapat berjalan di sungai itu tentu sekali pengembara yang berkaki lebih panjang daripada itik tidak tenggelam.

            Jangan bertanya kepada orang yang tidak tahu. Sekiranya kita dengar jawapannya, bermakna kita membiarkan diri diurus oleh orang lain. Cara mengelakkan diri diurus oleh orang lain adalah:

1.                   Jangan bertanya kepada orang yang disahkan tidak tahu.
2.                Jangan bertanya jalan sekiranya tidak sesat.
3.                Jangan bertanya kepada orang yang tidak pernah melakukan.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan